KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN
BAHAGIAN A
1.Karangan berdasarkan bahan rangsangan ini diuji dalam Kertas 1, Bahasa Melayu SPM, iaitu soalan Bahagian A. Hanya satu soalan diberikan dan calon wajib menjawabnya.
2.Karangan berdasarkan bahan rangsangan ini memperuntukan sebanyak 30 markah dan anda perlu menjawab soalan ini dalam masa 45 minit.
3.Panjang karangan yang perlu anda tulis ialah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
4.Bahan berpandu berdasarkan gambar (satu atau beberapa gambar), rajah, graf, data, kartun, dialog, petikan rencana atau berita daripada suratkhabar.
Strategi Menulis Karangan
|
Contoh jawapan
Rangka jawapan soalan 7.
Pendahuluan
Perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan.
Isi-isi
- Generasi muda hilang semangat patriotisme
- Cara memupuk semangat patriotisme – mempelajari sejarah
- Peranan media massa
Penutup
Negara akan terus membangun jika rakyat mempunyai semangat patriotisme. .
Jawapan soalan 3.
Malaysia menyambut jubli emas kemerdekaan negara yang ke-50 pada tahun 2007. Negara kita merdeka disebabkan oleh pejuangan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lepas. Mereka telah banyak berjasa dengan berkorban harta benda dan nyawa demi kebebasan sebuah negara daripada terus dijajah oleh kuasa-kuasa asing. Semangat berjuang mereka bak kata pepatah “biar putih tulang, jangan putih mata” patut dijadikan panduan dan teladan kepada generasi kini.
Semangat patriotik generasi tua ini gagal diwarisi oleh generasi muda. Justeru, generasi muda yang hilang semangat cinta akan negara ini menjadikan mereka lupa keperitan dan kusukaran golongan terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini. Generasi pasca merdeka tidak tahu erti perjuangan dan ada kala sikap mereka boleh menjadikan negara ini dijajah semula oleh imperialis dalam apa-apa juga bentuk sama ada politik, ekonomi dan sosial.
Pelbagai cara perlu dilakukan untuk memupuk semula semangat patriotik ini seperti mempelajari dan menghayati mata pelajaran Sejarah. Sejarah negara adalah kisah benar yang patut diketahui oleh semua individu di negara ini. Sejarah mengajar kita peristiwa silam yang patut dijadikan pengajaran. Para remaja juga perlu melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang dijalankan dalam bulan kemerdekaan yang bermula pada 16 Ogos hingga 16 September setiap tahun.
Peranan yang dimainkan oleh media massa juga tidak kurang pentingnya. pelbagai cara boleh dilakukan untuk menyuburkan semangat patriotisme ini dalam kalangan rakyat, seperti menyiarkan dokumentari yang berkaitan dengan kemerdekaan. Filem-filem yang berkisar perjuangan kemerdekaan juga perlu disiarkan dalam siaran televisyen. Lagu-lagu patriotik sentiasa berkumandang di radio. Program-program berorientasikan kemerdekaan seperti mendeklamasikan sajak, mencipta poster dan sebagainya perlu dilakukan sebagai pengisian bulan kemerdekaan ini.
Kesimpulannya, setiap rakyat perlu memiliki semangat patriotisme. Negara akan terus membangun jika rakyat mempunyai semangat cinta akan negara yang tinggi. Kedaulatan negara akan terjamin dan negara tidak akan dijajah semula. Gejala-gejala negatif seperti rasuah, subversif dan sebagainya tidak akan berlaku dalam masyarakat. Setiap ahli masyarakat menghormati di antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama demi pembangunan negara.
Summary
BAHAGIAN B
1. Kertas SPM 1103/1 Bahasa Melayu Bahagian B mengandungi lima soalan dan anda diminta memilih salah satu daripada soalan tersebut.
2. Calon diminta menulis sebuah karangan yang panjangnya melebihi 350 patah perkataan.
3. Sebanyak 100 markah diperuntukkan untuk karangan bahagian ini dalam tempoh masa satu jam setengah atau 90 minit.
4. Terdapat dua bentuk karangan iaitu karangan berformat khusus dan karangan berformat umum.
5. Antara jenis karangan yang tergolong dalam karangan berformat termasuklah:
6. Karangan tidak berformat tidak mempunyai format tertentu dan bentuk penulisannya adalah bebas.
7. Antara jenis karangan yang tergolong dalam bentuk karangan ini termasuklah :
8. Terdapat lima dimensi yang diambil kira dalam penyediaan soalan bahagian ini iaitu:
STRATEGI MENULIS KARANGAN
1. Baca soalan dengan tenang sambil memilih tajuk atau soalan yang tepat.
2. Menentukan kunci tajuk atau soalan.
3. Menyediakan rangka karangan merangkumi pendahuluan, lima isi utama, dan penutup.
4. Menulis karangan, karangan yang cemerlang mempunyai tujuh perenggan yang seimbang.
5. Menyemak karangan.
6. Pastikan anda tidak mengambil masa melebihi 80 minit bagi menjawab soalan.
TOPIK 2.2
1. Bersifat formal dan tiada kaitan dengan urusan peribadi.
2. Surat rasmi dibahagikan kepada beberapa jenis:
SURAT; ADUAN BANTAHAN RAYUAN PERMOHONAN UNDANGAN RASMI PERNIAGAAN
3. Bahasa yang digunakan mestilah baku manakala ejaan dan tanda baca mestilah betul.
4. Bahasa yang digunakan mestilah mudah, tepat, padat dan tidak berbunga-bunga.
Ciri-ciri yang perlu ada dalam surat rasmi
1. Alamat pengirim ditulis di sudut atas sebelah kiri surat.
2. Selang sebaris.
3. Garisan panjang melintang digaris di bawah alamat pengirim selepas selang sebaris.
4. Selang sebaris
5. Nama dan alamat penerima ditulis di bawah garis melintang, di sebelah kiri surat selepas selang sebaris. Baris akhir alamat penerima hendaklah digariskan.
6. Tarikh ditulis di sebelah kanan surat, iaitu pada baris yang sama dengan baris akhir alamat penerima. Nama bulan mesti ditulis dengan huruf besar sepenuhnya dan selepas tarikh , dibubuh tanda noktah.
7. Selang sebaris.
8. Panggilan hormat penerima. Ditulis di bawah alamat penerima selepas selang sebaris.
9. Selang sebaris.
10. Perkara ditulis di bawah perkataan menghadapkan surat selepas selang sebaris. Gunakan huruf besar pada setiap awal kata. Tanda titik tidak perlu selepas perkara.
11. Selang sebaris.
12. Dari segi pemerengganan. Perenggan pertama dan perenggan terakhir tidak dinomborkan dan dimulakan dari tepi sebelah kiri surat, iaitu bahagian lipatan.
13. Antara satu perenggan isi dengan perenggan isi yang lain hendaklah dijarakkan satu atau dua baris.
14. Perenggan kedua dan seterusnya hendaklah dinomborkan. Nombor tersebut hendaklah dibubuh dan permulaan ayat dijarakkan sedikit dari nombor.
15. Bagi perenggan yang mempunyai pecahan, isi hendaklah dituliskan dengan huruf abjad ( a ), ( b ) dan seterusnya.
16. Pengakuan pengirim ditulis di sebelah kiri surat selepas perenggan akhir dan selepas selang dua atau tiga baris. Huruf pertama pada kata pertama hendaklah menggunakan huruf besar, mana kala perkataan yang lain menggunakan huruf kecil. Tanda koma mesti dibubuh di akhir rangkai kata tersebut.
17. Selang sebaris.
18. Tandatangan ditulis di bawah rangkai kata pengakuan pengirim selepas selang sebaris.
19. Nama pengirim ditulis dengan huruf besar di bawah tandatangan dan diletakkan di dalam kurungan
CONTOH SURAT RASMI
Soalan Surat Rasmi
1. Surat aduan
Anda merupakan setiausaha jawatankuasa penduduk di kawasan tempat tinggal anda. Anda ingin membuat aduan tentang tahap kebersihan sebuah premis makanan di kawasan anda yang semakin menurun. Tulis surat aduan itu kepada pihak yang berkenaan.
Rangka jawapan soalan 1
Format:
Surat rasmi ( aduan )
Pendahuluan:
Menghadap surat kepada Pengarah, Majlis Daerah
Isi-isi :
- memperkenalkan diri
- aduan tentang tahap kebersihan premis yang menurun
- keracunan makanan
- keadaan kedai yang kotor
- longkang tersumbat
- tidak menitik beratkan kebersihan dapur
- cadangan pemeriksaan yang kerap
- mengenakan tindakan undang-undang
- hak pengguna melalui kempen media massa
Penutup :
Menimbangkan perkara ini sewajarnya.
2348, Taman Samudera,
43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan.
____________________________________________________________________________________________
Pengarah,
Majlis Daerah Kajang, 43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan. 5 OGOS 2009
Tuan,
Masalah Tahap Kebersihan Makanan yang Menurun
Merujuk kepada perkara di atas, saya mewakili penduduk Taman Samudera ingin membuat aduan kepada pihak tuan tentang tahap kebersihan premis makanan di kawasan tempat tinggal kami yang semakin menurun. Hal ini menimbulkan perasaan tidak puas hati dan menimbulkan pelbagai masalah.
2. Makanan yang terdapat di premis makanan tersebut sering terdedah kepada udara tanpa ditutup. Perkara ini seringkali menyebabkan lalat menghingapi makanan tersebut. Makanan yang dihinggapi lalat tersebut dijual kepada pelanggan. Untuk pengetahuan pihak tuan, pada bulan lalu seramai lapan pelanggan dimasukkan ke hospital kerana keracunan makanan. Perkara ini sudahpun disuarakan kepada pemilik premis makanan terbabit supaya menjaga kebersihan, namun tiada sebarang perubahan dilakukan bak “ mencurah air ke daun keladi”.
3. Tambahan pula, keadaan kedai yang kotor dan dipenuhi sampah sarap turut menyakitkan pandangan. Pengusaha premis mementingkan keuntungan semata-mata, tanpa menghiraukan kebersihan premisnya. Pengusaha premis juga tidak memikirkan risiko jangka panjang yang bakal dihadapi oleh pelanggan dan diri mereka sendiri. Keadaan pinggan mangkuk yang sompek turut terdapat di premis tersebut. Walaupun begitu kebanyakan pelanggan tidak menghiraukan keadaan itu dan hal ini menyebabkan pekedai semakin lalai.
4. Di samping itu, kedudukan premis yang berhampiran dengan longkang menjadi masalah. Pada musim hujan, longkang tersebut akan dipenuhi air dan menyebabkan air melimpah ke kaki lima premis. Hal ini menimbulkan bau busuk. Selain itu, pengusaha premis tidak membersihkan longkang yang tersumbat akibat sampah sarap yang banyak. Hal ini memburukkan keadaan sedia ada.
5. Pengusaha premis turut tidak menitikberatkan kebersihan di dapur. Alat-alat memasak seperti kuali, periuk belanga, sudip dan sebagainya tidak disusun dengan rapi. Selain itu tempat basuh pinggan mangkuk juga agak teruk. Pengusaha kedai hanya menggunakan air yang sedikit untuk membasuh pinggan mangkuk dan gelas. Hal ini menyebabkan alatan tersebut tidak bersih.
6. Sehubungan dengan itu, saya ingin mencadangkan beberapa tindakan yang wajar diambil untuk menangani masalah ini. Saya mencadangkan pihak tuan membuat pemeriksaan yang lebih kerap dan menggenakan tindakan undang-undang kepada pengusaha premis makanan yang didapati tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Hal ini akan menyedarkan pengusaha premis tersebut.
7. Pihak tuan juga boleh mengadakan kempen kesedaran melalui media massa kepada pengguna tentang perkara ini. Hal ini untuk memberi peringatan kepada pengguna supaya mereka tahu hak-hak mereka sebagai seorang pengguna. Oleh yang demikian, saya berharap agar pihak tuan dapat menimbangkan perkara ini dengan sewajarnya. Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan saya dahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.
Sekian.
Yang benar,
Haikal
(HAIKAL BIN HARUN) Setiausaha, Jawatankuasa Penduduk Taman Samudera.
Baru-baru ini anda telah dirawat di hospital setelah terlibat dalam nahas jalan raya. Semasa berada di hospital, anda tidak berpuas hati terhadap layanan yang diterima di hospital tersebut. Tuliskan sepucuk surat aduan kepada pihak berkenaan.
Rangka jawapan soalan 2
Format:
Surat Kiriman Rasmi ( aduan)
Pendahuluan:
Menghadapkan surat kepada pihak yang berkenaan
Isi-isi :
- memperkenalkan diri
- memberi butiran peribadi diri
- tarikh masuk hospital
- layanan – semasa pendaftaran
- sikap jururawat semasa merawat
- menengking
- merawat tangan yang patah dengan kasar
- keadaan katil yang senget
- banyak nyamuk
- lantai yang kotor
- bilik air yang tersumbat
- kipas angin yang berbunyi bising
- waktu melawat yang tidak dipatuhi
- pukul lima pagi suara bising orang berjaja kuih di wad
- hal ini harus diperbaiki agar orang ramai, khususnya pesakit tidak merungut
Penutup :
Berharap agar perkara ini ditangani segera untuk menjaga imej Kementerian Kesihatan
2. Surat bantahan
Sebuah syarikat pusat hiburan bercadang untuk membina sebuah pusat hiburan di kawasan tempat tinggal anda. Sebagai wakil penduduk, anda ingin mengemukakan bantahan kepada pihak yang berkenaan. Tuliskan surat itu dengan menyatakan sebab-sebabnya dengan selengkapnya.
Rangka jawapan soalan 1
Pendahuluan:
Menghadapkan surat kepada pihak yang berkenaan
Isi-isi :
- memperkenalkan diri
- menyatakan bantahan pembinaan sebuah pusat hiburan
- bunyi yang kuat
- sikap kontraktor yang menyebabkan kerosakan tanaman
- buang sisa toksid ke dalam sungai
- ciri-ciri keselamatan tidak dihiraukan
- muda-mudi akan terpengaruh dengan hiburan
- khidmat untuk para pelanggan
- pekerja asing menambahkan masalah sosial
- mohon supaya diketatkan undang-undang
Penutup :
Berharap agar pihak yang berkenaan memberi kerjasama dan perhatian.
93, Kampung Semarak,
83600 Batu Pahat, Johor Darul Takzim.
____________________________________________________________________________________________
Tuan Pegawai Daerah,
Majlis Daerah Batu Pahat Barat, Bangunan Tunku Mahkota Ismail, 83000 Batu Pahat, Johor Darul Takzim. 8 JANUARI 2009
Tuan,
Bantahan Pembinaan Sebuah Pusat Hiburan di Kampung Semarak
Merujuk kepada perkara yang di atas, saya sebagai wakil penduduk Taman Sri Seladang ingin membuat aduan dan bantahan kepada pihak tuan tentang pembukaan sebuah pusat hiburan di tempat kami.
2. Pada awal November 2008, kami telah menerima sepucuk surat pekeliling daripada sebuah syarikat pembinaan yang memaklumkan kepada kami tentang pembinaan sebuah pusat hiburan, milik seorang usahawan dari Filipina. Dalam surat tersebut ada dinyatakan butir-butir pemilik, jenis perniagaan yang dijalankan, jangkaan bangunan siap dibina, dan tujuan pembukaan pusat hiburan tersebut.
3. Pada mulanya, kami memang tidak bersetuju akan usul tersebut. Namun, atas dasar toleransi, kami memberi keizinan. Pada awal pembinaan semuanya berjalan dengan baik, namun lama kelamaan mula menampakkan kepincangan. Sikap kontraktor pembinaan yang tidak menghiraukan keadaan penduduk menyebabkan kami menerima pelbagai masalah. Antaranya bunyi yang kuat “seperti halilintar membelah bumi” mengganggu ketenteraman kami. Kami juga terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan hasil tanaman ladang kami. Hal ini adalah kerana sisa buangan bahan buangan bahan binaan dan minyak daripada kenderaan yang digunakan telah disalirkan ke dalam saliran kami. Apabila telah tercemar, maka sukar bagi kami mendapatkan bekalan air bersih untuk menyuburkan tanaman.
4. Selain itu, tiada ciri-ciri keselamatan di sekitar kawasan pembinaan. Kawasan tersebut berbahaya kerana tidak dipagar. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak gemar bermain di situ. Hal ini amat membimbangkan kami, lebih-lebih lagi para ibu bapa. Kami bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada kanak-kanak itu. Lebih-lebih lagi apabila terjadi suatu kemalangan kecil yang melibatkan seorang budak lelaki berusia lima tahun telah tercedera semasa bermain di situ. Perkara ini terjadi apabila budak yang bermain di situ terjatuh kerana tersandung kayu-kayu yang bersepah dan diletak di merata-rata tempat. Kami telah beberapa kali cuba meminta jasa baik kontraktor terbabit untuk menyediakan papan tanda larangan dan ciri keselamatan yang lain tetapi tiada tindak balas positif yang diambil oleh mereka.
5. Walaupun pada awalnya kami menerima pembinaan ini sebagai arus pembangunan tetapi apabila difikirkan kembali, kami dapat melihat kesan yang timbul akibat lahirnya pusat hiburan ini. Muda-mudi pastinya menjadi sasaran utama dan terpengaruh oleh hiburan dan perubahan ini. Mereka akan menghabiskan masa dengan berhibur. Pusat hiburan ini pastinya akan menyediakan minuman keras, suasana samar yang mengundang gejala sosial seperti berfoya-foya dan lagu-lagu yang melalaikan. Bagaimanakah muda-mudi ini akan membela bangsa dan memimpin negara pada masa hadapan? Oleh sebab itu, amat perlu kehadiran pusat hiburan itu disekat segera.
6. Suatu lagi perkara yang amat membimbangkan kami ialah aktiviti sampingan yang mungkin dijalankan oleh pusat hiburan tersebut. Kami risau sekiranya masalah pelacuran akan menular pula ke kawasan kami. Melalui pemerhatian kami selama ini, pusat-pusat hiburan sering menyediakan khidmat sampingan untuk para pelanggannya. Kami tidak mahu anak-anak atau anak muda kampung kami terlibat dalam aktiviti tidak bermaruah ini. Jika hal ini berlaku, pasti hancurlah masa depan negara untuk melihat generasi wawasan 2020 yang berkualiti. Diharapkan agar pihak tuan memandang serius terhadap keadaan ini bak pepatah “sediakan payung sebelum hujan”
7. Kehadiran pekerja asing yang bekerja di kawasan pembinaan turut membimbangkan kami. Ada di kalangan pekerja asing yang mengganggu anak gadis kampung sama ada pulang dari sekolah ataupun tempat kerja. Kami bimbang jika perkara ini dibiarkan, pasti akan berlaku perkara yang tidak diingini sehingga menjejaskan keselamatan anak-anak gadis kami. Buktinya beberapa minggu yang lalu, seorang pekerja Bangladesh telah dipukul oleh keluarga seorang gadis yang bekerja di sebuah kilang kerana cuba untuk mencabul kehormatan gadis tersebut. Jika keadaan ini terus dibiarkan sehingga berlarutan, tentunya perkara yang lebih buruk akan berlaku.
8. Justeru, kami amat berharap agar pihak tuan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani masalah tersebut. Antara langkah yang diambil ialah membuat pemeriksaan ke kawasan terbabit dan mengetatkan peraturan. Pihak berkuasa juga boleh mengenakan denda dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Diharapkan pihak tuan akan dapat mempertimbangkan permintaan kami agar projek pembinaan pusat hiburan itu dihentikan ataupun sekurang-kurangnya dikawal operasinya. Segala kerjasama dan perhatian yang diberikan oleh pihak tuan kami ucapkan ribuan terima kasih.
Sekian.
Yang menjalankan tugas,
Mohd. Haziq
( MOHD. HAZIQ BIN AZMI ) Wakil Penduduk Kampung Semarak,
Andaikan anda pengerusi Persatuan Pemandu-pemandu Teksi Malaysia. Dalam suatu mesyuarat agung, semua ahli membantah cadangan untuk menaikkan kadar bayaran tol kepada semua teksi dan penurunan tambang kepada penumpang. Tuliskan surat anda itu.
Rangka jawapan soalan 2
Format:
Surat Kiriman Rasmi (bantahan )
Pendahuluan:
Menghadapkan surat kepada pihak yang berkenaan
Isi-isi :
- memperkenalkan diri anda
- nama dan jawatan
- tujuan menulis surat
- tidak setuju menaikkan bayaran tol
- terlalu tinggi
- pendapatan tidak seberapa
- persaingan senget dengan teksi lain
- meminta kadar tol yang lebih murah
- penurunan tambang tidak logik
- kadar penurunan harga diesel hanya sedikit
- harga tambang lama mesti dikekalkan
- jika bayaran tol naik, tambang turun, pendapatan terjejas
- semoga bantahan ini mendaat simpati
Penutup :
Berharap agar pihak berkenaan menimbang surat ini dengan teliti untuk kesejahteraan semua pihak.
3. Surat rayuan
Anda tinggal di kawasan setinggan. Kawasan tempat tinggal anda akan dimajukan oleh pihak swasta. Notis untuk merobohkan rumah-rumah tersebut telah dikeluarkan. Anda selaku wakil penduduk kawasan setinggan itu ingin mengemukakan rayuan kepada wakil rakyat tempat anda. Tulis surat itu selengkapnya.
Rangka jawapan soalan 1
Format:
Surat kiriman rasmi ( surat rayuan )
Pendahuluan:
Menghadap surat kepada wakil rakyat
Isi-isi :
- memperkenalkan diri
- memohon tanah tapak perumahan supaya menjadi milik
- tidak mampu membayar sewa atau rumah kos rendah
- mendirikan rumah setinggan untuk melindungi keluarga
- beban perbelanjaan anak bersekolah
- menolak tawaran pemaju supaya menerima tanah rumah pangsa secara sewa beli
- terletak di kawasan pemandangannya indah
- telah didirikan surau
Penutup :
Mohon agar masalah ini dipertimbangkan dengan sewajarnya.
K- 74, Jalan Wangi,
Gua Muda, 80809 Sandakan, Sabah.
____________________________________________________________________________________________
Yang Berhormat,
Datuk Roslan bin Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri, 80809 Sandakan Sabah. 11 NOVEMBER 2009
Yang Berhormat,
Rayuan Tidak Merobohkan Rumah-rumah Setinggan
Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa saya sebagai wakil penduduk kampung setinggan ingin membuat rayuan kepada pihak Yang Berhormat agar tidak melaksanakan cadangan merobohkan rumah setinggan kami. Kami telah mendiami kawasan ini sejak 20 tahun yang lalu, umpama “tanah tumpah darah”. Kami telahpun menghantar surat permohonan kepada pihak Pejabat Tanah Sandakan untuk memohon tanah tapak perumahan ini supaya menjadi milik kami dengan hanya membayar premium. Surat permohonan ini telah kami ajukan ke pejabat berkenaan setahun yang lalu.
2. Untuk makluman yang berhormat, kami yang tinggal di kawasan ini berpendapatan rendah, ada yang menjadi buruh , pekerja kilang dan nelayan. Kehidupan kami bak “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Kami mengaku sesungguhnya kami tidak mampu menyewa, apatah lagi membeli rumah walaupun rumah kos rendah. Kami sedar bahawa tanah yang kami dirikan rumah setinggan ini adalah tanah kerajaan, tetapi kami tiada pilihan lain. Kami terpaksa mendirikan rumah setinggan tersebut demi melindungi keluarga kami. Kami berharap agar pihak yang berhormat dapat bersimpati terhadap kami yang sememangnya serba kekurangan ini.
3. Untuk makluman yang berhormat, majoriti kami mempunyai keluarga yang besar. Tambah membebankan kami ialah perbelanjaan anak-anak yang bersekolah. Oleh itu, tawaran awal pihak pemaju swasta supaya menerima tanah rumah pangsa secara sewa beli terpaksa kami tolak. Penolakan kami ini memang berdasarkan faktor ketidakmampuan kami untuk membayar harga rumah pangsa tersebut. Tambahan pula, rumah pangsa tersebut hanya mempunyai dua bilik, pastinya tidak mencukupi jika dibandingkan dengan bilangan keluarga kami yang besar.
4. Kawasan setinggan yang kami duduki ini merupakan satu-satunya kawasan hijau yang tinggal di pinggir bandar Sandakan. Kawasan ini memang terkenal dengan pemandangan yang indah kerana kedudukannya menghadap pantai yang berteluk. Oleh itu kami mencadangkan sekiranya pihak pemaju ingin membina projek di kawasan ini, binalah di kawasan timur yang msih belum didiami oleh penduduk setinggan. Tambahan pula, kawasan tempat tinggal kami telah didirikan surau. Oleh itu kami berharap kawasan ini tidak menjadi korban pembangunan. Kami sangat berbesar hati sekiranya masalah kami mendapat perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya daripada Yang Berhormat. Kerjasama Yang Berhormat dalam perkara ini amat kami sanjungi.
Sekian, terima kasih.
Saya yang menurut perintah,
Hafiz
(HAFIZ BIN MANSOR) Gua Muda, Sandakan.
Andaikan anda setiausaha Persatuan Penjaja Pasar Malam. Pihak majlis daerah akan menaikkan sewa tapak gerai seterusnya memindahkan tapak gerai pasar malam ke tempat lain telah dicadangkan. Selaku wakil persatuan, anda telah membuat rayuan agar cadangan tersebut dibatalkan. Tuliskan surat rayuan anda itu.
Rangka jawapan soalan 2
Format:
Surat kiriman rasmi ( surat rayuan )
Pendahuluan:
Menghadapkan surat kiriman rasmi ( rayuan )
Isi-isi :
- mengenalkan diri dengan lengkap
- tujuan merayu
- alasan rayuan
- pasar malam hanya diadakan sekali seminggu
- pendapatan peniaga tidak stabil
- sewa tapak sekarang amat berpatutan
- boleh dinaikkan sewa tetapi pasar malam diadakan dua kali seminggu
- boleh dinaikkan sewa tetapi keadaan tapak diperbaiki dan ada kemudahan air
- tidak bersetuju apabila tapak dipindahkan
- tapak baru kurang menarik
- jauh dari tempat tumpuan pelanggan
- dekat dengan tempat pembakaran sampah
- berharap agar cadangan tersebut ditangguhkan untuk sementara waktu
Penutup :
Merayu agar kedua-dua cadangan ini dipertimbangkan dan cadangan pihak penjaja perlu diambil kira - terima kasih
4. Surat permohonan
Anda merupakan setiausaha Kelab Komputer sekolah. Kelab tersebut akan mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah kilang pengeluar perkakasan komputer. Tuliskan surat permohonan anda itu selengkapnya.
Rangka jawapan soalan 1
Format:
Surat rasmi ( permohonan )
Pendahuluan:
Menghadap surat kepada pengurus besar kilang
Isi-isi :
- Menyatakan nama dan jawatan anda.
- Menyatakan sebab-sebab ingin mengadakan lawatan
a. untuk melihat cara-cara pembikinan komputer dengan lebih mendalam b. untuk mendapat ilmu bagaimana membuat, memasang serta ingin mengetahui nama alat-alat perkakasan komputer. c. untuk melihat kemahiran yang digunakan oleh para pekerja semasa memasang komputer d. untuk mengetahui nama alat yang dipasang dalam komponen komputer e. bercita-cita untuk menjadi pengedar barangan komputer
Penutup :
Berharap agar pihak tuan dapat mempertimbangkan permohonan kami.
Setiausaha Kelab Komputer,
Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Balak,
75250 Tanjung Bidara, Melaka.
____________________________________________________________________________________________
Pengurus Besar,
Sibernet Industri, Lot 1037, Kawasan Perindustrian Siber, 43300 Kelana Jaya, Selangor. 7 JULAI 2009
Tuan,
Permohonan untuk Melawat Sambil Belajar ke Sibernet Industri
Merujuk kepada di atas, saya selaku setiausaha Kelab Komputer Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Balak, Tanjung Bidara, Melaka, ingin membuat permohonan kepada tuan untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke kilang tuan.
2. Saya sebagai setiausaha persatuan mewakili ahli-ahli yang lain berharap agar permohonan ini mendapat pertimbangan yang sewajarnya daripada pihak tuan. Cadangan tarikh lawatan kami ke tempat tuan adalah seperti butiran yang tercatat di bawah ini:
Tarikh : 7 Oktober 2009
Hari : Rabu
Masa : 8.00 pagi
Jumlah peserta: 40 orang pelajar dan empat orang guru
3. Tujuan Kelab Komputer sekolah kami mengadakan lawatan sambil belajar ke kilang tuan andalah untuk melihat cara-cara pembuatan komputer dijalankan dengan lebih mendalam. Selama ini kami hanya tahu menggunakan komputer tetapi tidak tahu bagaimana komputer dibuat. Kami percaya bahawa ilmu pembuatan komputer ini tidak akan didapati di sebarang tempat, kecuali di kilang tuan. Selain ini, kami juga ingin mengetahui cara membuat, memasang, serta ingin mengetahui nama alat-alat perkakas yang digunakan dalam komputer. Dijangkakan kehidupan harian kami akan menggunakan komputer sepenuhnya pada masa hadapan.
4. Tujuan lawatan kami seterunya adalah untuk melihat kemahiran yang digunakan oleh para pekerja semasa memasang komputer. Selama ini kami hanya diajar menggunakan komputer di sekolah. Namun, kerana ketiadaan masa dan kekangan yang lain, guru komputer tidak sempat untuk menerangkan ilmu pemasangan sesebuah komputer. Sekiranya kami diberi peluang untuk melawat kilang tuan, pasti kami akan mendapat ilmu yang baharu, umpama “jauh pandangan luas pengalaman”.
5. Di samping itu, kami juga ingin mengetahui nama-nama alat yang dipasang dalam komponen komputer. Tujuannya apabila ada sesuatu kerosakan dalam komponen tersebut, dapatlah kami mengetahui selok-belok kegunaan dan nama alat tersebut. Ada ahli kelab kami juga menyimpan cita-cita untuk menjadi pengedar barangan komputer dan ingin membuka kafeteria siber. Oleh itu, kami berharap agar pihak tuan dapat mempertimbangkan permohonan kami ini.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Amalina Huda
(AMALINA HUDA) Setiausaha, Kelab Komputer, Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Balak.
Anda telah membaca iklan bagi mengisi jawatan kosong di sebuah syarikat akhbar harian. Anda berminat untuk memohon jawatan tersebut. Tulis sepucuk surat permohonan untuk memohon jawatan tersebut.
Rangka jawapan soalan 2
Format:
Surat kiriman rasmi ( permohonan jawatan )
Pendahuluan:
Kata-kata menghadap surat kepada pengurus sumber manusia syarikat tersebut.
Isi-isi :
- memperkenalkan diri
- menyatakan butiran diri yang lengkap
- nombor kad pengenalan, alamat, tarikh, jantina, kelulusan akademik, penguasaan bahasa, dan lain-lain
- pengalaman bekerja di tempat lain dalam bidang yang berkenaan
- laporan aktiviti di sekolah dalam kegiatan akademik dan kokurikulum
- keistimewaan dan kelebihan
- sebab-sebab berminat untuk memohon jawatan itu
- surat sokongan lain
- harapan pemohon
Penutup :
Mengucapkan terima kasih dan tandatangan
|
SURAT TIDAK RASMI
1. Tergolong dalam karangan berformat.
2. Merupakan surat bersifat peribadi.
3. Terbahagi kepada beberapa jenis:
SURAT BERTANYA KHABAR
SURAT TAHNIAH/TAKZIAH
SURAT NASIHAT
SURAT JEMPUTAN
4. Menggunakan bahasa baku serta menarik, tanda baca dan ejaan yang betul.
Ciri-ciri Format Surat Tidak Rasmi
1. Alamat pengirim – ditulis di sudut atas sebelah kanan surat.
2. Tarikh – ditulis di bawah alamat pengirim dan dibubuh noktah.
3. Selang sebaris
4. Pembuka kata – ditulis ke dalam sedikit
5. Kata ganti diri penerima seperti saudara, saudari, ayahanda, bonda dan sebagainya ditulis di sebelah kiri tepi surat.
6. Isi
7. Penutup kata
8. Selang dua atau tiga baris
9. Pengakuan pengirim – ditulis di sebelah kanan bahagian bawah selepas selang dua atau tiga baris daripada penutup. Huruf pertama mestilah huruf besar dan huruf- huruf pada perkataan seterusnya hendaklah huruf kecil. Tanda koma dibubuh di akhir rangkai kata tersebut.
10. Perkara ditulis di bawah perkataan menghadapkan surat selepas selang sebaris. Gunakan huruf besar pada setiap awal kata. Tanda titik tidak perlu selepas perkara.
10. Selang sebaris
11. Tandatangan – ditulis di bawah pengakuan pengirim.
Soalan Surat tidak rasmi
Surat nasihat
Sahabat karib anda terlibat dalam gejala gangsterisme. Anda berasa kecewa dan ingin menasihatinya agar kembali ke pangkal jalan. Sediakan surat anda selengkapnya.
Rangka jawapan soalan 1
Pendahuluan:
Alamat pengirim –alamat penerima-tajuk
Isi-isi :
- bertanyakan khabar
- tujuan surat –terkejut sahabat terlibat dengan gejala gangsterisme.
- menasihati supaya kembali ke pangkal jalan
- kalau terlibat dengan gangsterisme dihukum buang sekolah
- sukar untuk meneruskan pelajaran
- sukar untuk mendapat pekerjaan yang baik
- boleh mengundang maut
- hukuman dicatat di sijil berhenti sekolah
- bertemu kaunselor untuk membincangkan masalah
Penutup :
Jangan menghampakan ibu bapa, pulanglah ke pangkal jalan
230Kampung Aman,
73500, Parit Buntar,
Perak Darul Ridzuan.
73500, Parit Buntar,
Perak Darul Ridzuan.
29 JULAI 2009
Menemui sahabatku Abdullah, yang kini berada di asrama Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang. Bagaimana keadaan saudara? Semoga saudara sihat di samping rakan-rakan. Saya di sini dalam keadaan sihat selalu.
Saudara,
Saudara tentu terkejut dengan kehadiran warkah ini. Hal ini mungkin kerana sudah terlalu lama saya tidak mengutuskan surat. Saya memperoleh alamat ini daripada ayahanda saudara. Jadi janganlah saudara hairan tentang cara saya mengetahui alamat sekolah saudara. Tujuan saya melayangkan warkah ini adalah kerana saya mendapat tahu bahawa saudara terlibat dalam kes gangsterisme. Saya sungguh terkejut tentang perkara ini kerana semasa kita sama-sama bersekolah dahulu saudara merupakan seorang pelajar yang berdisiplin. Saya sebagai sahabat karib ingin menasihati saudara supaya kembalilah ke pangkal jalan kerana ianya langsung tiada kesan positif.
Gejala gengsterisme memang sukar dikawal tidak kira di mana-mana sekolah pun. Mereka yang terlibat dalam gengsterisme kebiasaan dihukum dibuang sekolah. Sebaik sahaja di buang sekolah, maka sudah pastilah sukar bagi mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Sebagai contoh, baru-baru ini terdapat tiga orang pelajar di sekolah saya telah dibuang sekolah kerana telah memukul pelajar-pelajar tingkatan empat yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka. Beberapa hari kemudian waris pelajar-pelajar tersebut telah datang ke sekolah lalu merayu supaya hukuman ditarik balik kerana bimbang anak mereka sukar untuk mendapat pendidikan seterusnya pekerjaan yang baik kelak. Jadi, memang benarlah bahawa jika seseorang itu terlibat dalam gejala gengsterisme, boleh menghancurkan masa depan mereka.
Saudara,
Gejala gengsterisme juga boleh mengundang maut, jika kedua-dua pihak tidak dapat mencari jalan penyelesaian. Terdapat juga segelintir kumpulan gengsterisme yang sanggup berbunuhan kerana mahu menunjukkan kekuatan mereka. Akhbar harian Metro baru-baru ini memaparkan artikel mengenai peningkatan kumpulan-kumpulan gengster di semua sekolah di seluruh Malaysia. Semua kroni kumpulan tersebut telah ditangkap kerana melakukan pembunuhan. Jadi memang tidak dapat dinafikan bahawa gejala gengsterisme boleh membawa maut jika tersilap langkah.
Untuk pengetahuan saudara juga, sekiranya seseorang yang ditangkap kerana terlibat dengan gejala gengsterisme akan dibuang sekolah ,digantung atau dibuang asrama. Walaupun hukuman ini tidak seberat dibuang sekolah, namun sekiranya seseorang pelajar itu dihukum sebegini, maka pasti sukar untuk mereka mencari pekerjaan pada masa mendatang kelak. Hal ini disebabkan hukuman tersebut akan dicatat dalam Sijil Berhenti Sekolah. Sebagai bukti pada bulan lepas sekolah saya telah dikunjungi oleh seorang bekas pelajar sekolah saya. Dia telah menyampaikan ceramah tentang gejala gengsterisme menyebabkan dia sukar mendapat pekerjaan dan dia begitu menyesal di atas perbuatannya. Terbuktilah gejala ini menyukarkan seseorang itu mencari pekerjaan.
Saudara,
Saya ingin menyarankan agar saudara kembali ke pangkal jalan kerana semua orang pernah melakukan kesalahan bak kata pepatah “bumi mana tak ditimpa hujan”. Tambahan pula gejala gengsterisme akan menyusahkan banyak pihak. Pihak kerajaan dan tampuk pimpinan kita juga terpaksa memerah otak memikirkan cara yang sesuai untuk menghapuskan gejala gengsterisme ini. Hal ini terbukti apabila kerajaan telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar yang memaklumkan bahawa kerajaan terpaksa mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk memulihkan mereka yang terlibat dengan gejala gengsterisme telah menyusahkan banyak pihak.
Saya ingin mencadangkan agar saudara bertemu dengan guru kaunseling sekolah saudara. Dengan cara ini, saudara pasti akan dibimbing ke pangkal jalan. Janganlah saudara mensia-siakan harapan orang tua saudara yang mengharapkan kejayaan saudara. Saya juga mengharapkan agar saudara kembali ke pangkal jalan sebelum terlewat lantaran “ sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.
Sekian sahaja untuk kali ini.
Sekian sahaja untuk kali ini.
Sahabatmu,
Amirul Hafiz
(AMIRUL HAFIZ BIN ALI)
(AMIRUL HAFIZ BIN ALI)
Surat bertanya khabar
Sekolah anda telah menerima Anugerah Sekolah Bersih dan Ceria peringkat negeri. Sahabat anda dari sekolah lain ingin mengetahui usaha-usaha yang dijalankan di sekolah anda sehingga meraih kejayaan tersebut.
Rangka jawapan soalan 2
Pendahuluan:
Alamat pengirim – kata penghadap surat
Isi-isi :
- Nyatakan kejayaan sekolah anda
- Aktiviti pertandingan kebersihan dan keceriaan setiap kelas
- Memperkenalkan taman angkat
- Mengecat bangunan-bangunan dan menghiasi dengan lukisan mural
- PIBG menyumbang pokok-pokok hiasan
Penutup :
Jemput rakan melawat sekolah anda – tandatangan.
74, Taman Beringin,
73430 Pusat Bandar,
Negeri Sembilan.
73430 Pusat Bandar,
Negeri Sembilan.
6 JULAI 2009
Ke hadapan saudari Nur Athira yang berada di Perak, semoga sihat di samping keluarga tersayang. Saya di sini sihat sejahtera. Terima kasih kerana sudi mengutus surat kepada saya.
Saudari,
Baru-baru ini sekolah saya telah menerima Anugerah Kebersihan dan Keceriaan di peringkat negeri. Di sini, setiap tahun pemantauan sekolah lima bintang dijalankan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri. Selain kurikulum, kokurikulum, kebersihan dan keceriaan juga dinilai. Pihak sekolah telah mengadakan beberapa program bagi menceria dan membersihkan sekitar kawasan sekolah. Antaranya pihak sekolah sering mengadakan gotong-royong pada hujung minggu. Para pelajar dan guru-guru akan datang ke sekolah membersihkan bilik-bilik darjah dan kawasan sekitarnya. Amalan gotong-royong ini dapat mengatasi masalah sampah yang berselerakan, di samping memupuk semangat kerjasama seperti peribahasa Melayu ada mengatakan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Tambahan pula, baru-baru ini kerajaan telah mengeluarkan arahan agar semua sekolah di seluruh Malaysia mengadakan gotong-royong bagi menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes.
Saudari,
Pihak sekolah juga menganjurkan pertandingan kebersihan dan keceriaan bagi setiap kelas. Kelas terbersih akan menerima piala pusingan beserta wang tunai berjumlah RM 100.00 Mana kala bagi para pelajar dari kelas terkotor pula akan didenda bercorak khidmat sosial seperti membersihkan tandas dan surau. Pertandingan ini akan diadakan seminggu sekali dan guru bertugas mingguan akan mengadili serta mengumumkan keputusan di perhimpunan pagi. Melalui pertandingan ini para pelajar diajar tentang kepentingan menjaga kebersihan dan mengamalkannya sebagai satu budaya di luar atau di dalam kelas bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.
Program taman angkat telah diperkenalkan oleh pihak sekolah. Setiap kelab dan persatuan serta unit beruniform diberikan satu kawasan seluas 50 meter persegi untuk dijadikan taman-taman mini. Kreativiti guru dan pelajar telah Berjaya membentuk landskap-landskap yang menarik. Pertandingan taman angkat tercantik akan dipertandingkan, terutamanya semasa majlis-majlis seperti hari penyampaian hadiah dan sebagainya. Sekolah juga terpilih sebagai projek printis mata pelajaran vokasional untuk subjek landskap dan katering. Pelajar-pelajar ini banyak membantu keceriaan sekolah.Selain itu, sekolah juga mempunyai empat orang tukang kebun yang sentiasa menjaga kebersihan kawasan sekolah. Keceriaan sekolah banyak dibantu oleh keindahan bangunan-bangunannya. Bangunan yang kotor dan kusam tidak mampu memperlihatkan keceriaan. Atas kesedaran ini, pihak PIBG telah memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk mengecat semula bangunan-bangunan di sekolah ini. Pemilhan warna cat yang cantik telah berjaya menaikkan lagi seri sekolah. Selain itu, di setiap dinding bangunan terdapat lukisan mural yang dilukis oleh pelajar-pelajar pendidikan seni. Berbagai-bagai corak yang menarik, seperti corak batik, pemandangan dan lukisan-lukisan abstrak memenuhi setiap ruang yang kosong.
Saudari,
Melalui PIBG juga sejumlah besar pokok hiasan dibeli dan ditanam di sekitar kawasan sekolah. Hasrat pengetua menjadikan sekolah dalam taman tercapai apabila hampir ribuan pokok telah ditanam di kawasan sekolah ini. Di tepi-tepi padang ditanam pokok-pokok besar, mana kala di kawasan-kawasan kosong antara bangunan ditanam pula dengan pokok-pokok bunga. Di sekolah saya juga terdapat satu sudut tanaman pokok-pokok herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan sebagainya. Tanaman ini sekurang-kurangnya dapat mendedahkan para pelajar spesies tumbuh-tumbuhan yang dijadikan ubat oleh orang-orang dahulu.
Sampai di sini sahaja yang dapat saya terangkan tentang beberapa aktiviti yang dijalankan di sekolah ini. Sudi kiranya saudari datang melawat ke sekolah saya bagi menyaksikan sendiri keceriaan dan kebersihan yang menjadi kebanggaan kami semua.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment